BERITA kematian chef selebriti dan personaliti TV antarabangsa, Anthony Bourdain antara berita besar yang menjad tumpuan sejak Jumaat.

Rata-rata rakan, selebriti, peminat dan netizen membanjiri laman media sosial dengan ucapan takziah buat keluarga Bourdain.

Ramai yang menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan pemergian Bourdain.

Namun begitu, ada juga yang meraikan kejayaan Bourdain dan impak yang ditinggalkannya.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang merupakan peminat program Bourdain mengaku sungguh terkejut dengan berita tersebut dan sempat mengucapkan takziah dalam satu sidang media di White House.


“Berita ini amat menyedihkan. Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarganya.

“Ia sungguh mengejutkan. Apabila saya bangun pagi tadi, Anthony Bourdain sudah meninggal dunia.

“Saya suka programnya. Beliau seorang yang sungguh unik,” kata Trump.

BACA: Pereka fesyen Kate Spade ditemui mati dalam apartmennya

Antara selebriti dan chef terkenal lain yang turut menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan Bourdain ialah Gordon Ramsay, Chrissy Teigen, Jamie Oliver, Yotam Ottolenghi, Andrew Zimmern dan ramai lagi.





Ada yang meraikan Bourdain atas keupayaan beliau dalam menghormati dan menumpukan perhatian terhadap budaya yang berbeza di seluruh dunia.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama turut merakamkan rasa terkejut.

Rasa sedih dan terkejut Obama itu dizahirkan di laman Twitter milik peribadinya.

Obama semasa pentadbirannya pernah duduk semeja menikmati minuman dan menjamu hidangan mi di sebuah restoran kecil di Hanoi, Vietnam pada 2016.

Mengimbau kembali kenangannya dengan mendiang, Obama mengingati seorang tukang cerita, tukang tulis dan tukang masak.

Kepada beliau, Bourdain kekal diingati bukan sahaja sebagai individu yang mengajar tentang erti makanan.

Pada lapis lain, mendiang memiliki keupayaan untuk menyatukan semua menerusi buku dan rancangan masakannya.


Seperti Ramsay, selebriti lain turut berkongsikan nombor National Suicide Prevention Hotline setelah mengetahui punca kematian Bourdain adalah bunuh diri, seperti insiden kematian pereka fesyen terkemuka, Kate Spade.

Bourdain, 61 ditemui mati di bilik hotelnya di Perancis.

Pemergian Bourdain hanya tiga hari selepas berita kematian Spade.

Spade, 55, disahkan meninggal dunia dalam satu insiden yang mirip tindakan bunuh diri pada pagi Selasa.