PERKONGSIAN video senamrobik atau zumba di media sosial menjadi kelaziman ketika ini, tatkala ramai yang cuba mengamalkan gaya hidup sihat disebalik pandemik COVID-19.

Namun, tular sejak semalam video aktiviti senamrobik seorang wanita di kawasan perkarangan menuju ke bangunan Parlimen Myanmar.

Dia yang telah menjadikan kawasan tersebut sebagai aktiviti rutinnya sejak tiga bulan lalu dilihat asyik bersenam dengan diiringi lagu popular Ampun Bang Jago.

Dikenali sebagai Khing Hnin Wai, guru pendidikan jasmani itu berkenaan berkongsi videonya sedang menari dalam akaun media sosialnya sehingga menarik perhatian ramai orang.


Video berkenaan yang menjadi tular menyebabkan portal berita New York Post turut melaporkannya.

Apa yang menyebabkan video itu semakin tular adalah apabila wanita itu dilihat tidak menyedari kehadiran gerombolan kenderaan tentera yang memasuki bangunan Parlimen Myanmar.

Kejadian dilaporkan berlaku semalam semasa proses rampasan kuasa tentera berlaku pada Isnin.

Junta tentera Myanmar telah menguasai negara itu dan mengisytiharkan darurat selama setahun, menurut pengumuman Pejabat Presiden Myanmar menerusi Irrawaddy TV, stesen penyiaran milik tentera.

BACA: Rampasan kuasa: Tentera Myanmar isytihar darurat satu tahun