Perintah 'lockdown' yang dikuatkuasakan di seluruh Perancis bagi memerangi penularan COVID-19 dilaporkan menjejaskan kehidupan keluarga miskin di kawasan tersebut.
Susulan itu, sekumpulan sukarelawan tempatan yang digelar AClefeu mengagihkan barangan keperluan harian seperti sabun mandi, makanan asas dan keperluan lain.
Menurut pengasas bersama kumpulan AClefeu, Mohamed Mechmache, pengagihan ini adalah bagi membantu golongan yang terjejas teruk.
"Selepas krisis COVID-19 ini bermula, kami dapat merasakan ia akan menjejaskan kehidupan golongan miskin.
"Oleh sebab itu, kami membantu keluarga yang memerlukan dan tidak meraih pendapatan semasa tempoh ini. Kami mencari jalan untuk membantu dan kami memutuskan untuk mengagihkan makanan," jelasnya.
Bagi salah seorang penduduk tempatan, Djemba Diatite, bantuan yang diberikan ini adalah jalan penyelesaian buat keluarga mereka mendapatkan bekalan makanan.
BACA: COVID-19: Perancis lanjutkan langkah kecemasan hingga 11 Mei
"Makanan adalah terlalu mahal. Harga makanan di pasar raya naik dua kali ganda. Bagi saya, kami berdepan kesukaran buat anak-anak dan suami saya yang tidak bekerja sejak krisis ini bermula.
"Saya perlu dapatkan bekalan makanan, hanya ini jalan penyelesaian buat kami," luahnya.
Bantuan ini turut diberikan selepas kerajaan Perancis meluluskan bantuan dana berjumlah AS$1.08 bilion untuk membantu golongan berpendapatan rendah semasa tempoh 'lockdown' ini.
Setakat Rabu, Perancis mengesahkan 159,300 kes positif COVID-19 dengan 20,829 kematian.
BACA: COVID-19 di Paris: Langit membiru, burung berkicauan dan tidur malam menjadi lena