PAIPORTA, VALENCIA: Ratusan penduduk di sini, bertindak mencemuh dan melemparkan lumpur dan telur ke arah Raja Sepanyol, Raja Felipe VI ketika baginda turun padang meninjau keadaan mangsa banjir.

Kemarahan yang tidak dapat dibendung kerana bantuan lewat diterima sehingga meragut lebih 200 nyawa menyebabkan penduduk melemparkan lumpur dan telur ke arah Raja Felipe dan Ratu Letizia.

Tidak cukup itu, Raja Felipe juga berhadapan dengan laungan “pembunuh” ketika melawat Paiporta yang dilanda teruk, bersama Perdana Menteri, Pedro Sanchez dan Gabenor wilayah Carlos Mazon apabila penduduk tempatan menuduh pihak berkuasa gagal menguruskan bencana alam yang paling teruk pernah berlaku itu.

Selepas mereka bergambar, orang ramai mula melemparkan penghinaan kepada Raja Felipe, Mazon dan Sanchez.

Baginda juga berhadapan dengan kemarahan kerana didakwa “lewat turun padang” selepas empat hari bencana melanda.

Orang ramai turut bersesak mendekati raja apabila anggota pasukan keselamatan membuka payung untuk mencuba dan melindungi baginda daripada diserbu.

Ketika berhadapan dengan seorang penduduk, Raja Felipe tetap tenang dan menurunkan payungnya untuk mendengarnya ketika polis bergelut untuk mengawal mereka yang berkumpul.

Permaisuri Letizia juga bercakap dengan penduduk yang sukar mengawal kemarahan.

Pasukan media sosial pejabat diraja berkongsi hantaran video yang merakamkan akis raja dan permaisuri memeluk penduduk yang kecewa dan menenangkan mereka.

Seorang lelaki jatuh menangis ke dalam pelukan raja dan dalam rakaman lain, Raja Felipe dilihat memeluk dua wanita yang sedang menangis.

Berhadapan cemuhan dan kemarahan rakyat dari dekat merupakan perkara luar biasa bagi seorang Raja Sepanyol untuk menghadapi kemarahan yang begitu hebat dari dekat.

Raja Felipe merupakan tokoh yang popular dan menaiki takhta selepas ayahandanya berundur.

Kemarahan penduduk itu sebetulnya ditujukan kepada Mazon dan Sanchez, yang lebih awal meninggalkan lokasi walaupun Raja Felipe berkeras untuk terus berada di kawan bencana sekalipun berlaku huru-hara.


Raja Felipe VI mendengar luahan kekecewaan penduduk yang juga mangsa banjir.

Pejabat Sanchez dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, Perdana Menteri telah diminta meninggalkan lokasi berdasarkan protokol keselamatan.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi di platfrom, Mazon berkata, beliau memahami kemarahan penduduk dan memuji tingkah laku raja yang menjadi "teladan."

Sekurang-kurangnya 214 orang kini disahkan maut akibat banjir dan tol mungkin meningkat lebih tinggi.
Antara mangsa terbaharu ialah seorang wanita berusia 70 tahun yang mayatnya ditemui lebih 12 kilometer dari rumahnya

Kerja-kerja menyelamat yang lambat dan tidak teratur terhadap krisis berkenaan mencetuskan kemarahan Valencia.

Bahkan, amaran untuk bersiap sedia daripada pihak berkuasa melalui teks hanya dikirim beberapa jam selepas amaran banjir dikeluarkan perkhidmatan cuaca.

Pada Sabtu, Sanchez mengarahkan 5,000 lagi tentera untuk membantu usaha menyelamat di kawasan banjir dan menyifatkan ribut itu sebagai "bencana alam terburuk" dalam sejarah daerah itu.

Beliau menangani kemarahan dan kekecewaan terhadap tindak balas yang perlahan oleh pihak berkuasa, mengakui ia "tidak mencukupi."

Media melaporkan, sebahagian daripada bencana ini telah dipolitikkan.

Mazon dan Sanchez daripada parti politik yang berbeza dan di bawah sistem politik Sepanyol, kerajaan Persekutuan negara itu tidak boleh mengeluarkan dana dan sumber kecemasan tanpa kebenaran daripada kerajaan sesebuah wilayah.

Bagaimanapun, itu tidak berlaku sehingga Sabtu iaitu empat hari selepas banjir melanda.

Pada Ahad, pihak berkuasa menyeru penduduk untuk berlindung ketika Agensi Cuaca Sepanyol meningkatkan amaran cuaca di kawasan pantai Valencia ke paras merah maksimum berikutan hujan yang lebih dijangka.

Video media sosial yang disiarkan oleh penduduk tempatan menunjukkan kenderaan polis melalui jalan Aldaia di timur Sepanyol memberitahu penduduk melalui pembesar suara supaya pulang dan mengelak kawasan bersebelahan gaung. - Agensi