RABAT: Raja Mohammed VI dari Maghribi selamat menjalani pembedahan selepas mengalami patah tulang humerus kiri akibat terjatuh ketika melakukan aktiviti sukan harian, lapor Agensi Berita Maghribi (MAP). 

Pembedahan dilakukan di Klinik Istana Diraja di Rabat oleh pasukan perubatan yang diketuai oleh doktor peribadi baginda, Profesor Belyamani Lahcen, disokong oleh Profesor Zine Ali, Bouabid Salim, dan Benchekroun Mohammed, pakar dalam bidang traumatologi dari Hospital Latihan Ketenteraan Mohammed V. 

Menurut laporan, bahu kiri baginda akan kekal distabilkan supaya ia tidak bergerak bagi mempercepatkan proses penyembuhan selama 45 hari.

-- BERNAMA