Korea Utara menyifatkan dakwaan bahawa ia membekalkan misil kepada Hamas dan bantuan kepada Hizbullah sebagai "dongeng" dan "muslihat" untuk mengaitkan Pyongyang dengan kemelut di Asia Barat.

Kementerian Luar republik itu membuat penafian tersebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat Isnin melalui agensi berita rasminya, KCNA.

Akhbar Daily Telegraph yang memetik sumber risikan Barat pada hujung minggu lalu melaporkan Hamas membuat bayaran pendahuluan tunai untuk mendapatkan misil dan alat komunikasi tambahan dari Korea Utara.

Laporan itu tersiar beberapa hari selepas sebuah mahkamah di Amerika Syarikat memutuskan Korea Utara menyediakan persenjataan canggih kepada Hizbullah di Lubnan.

"Ini dongeng dan muslihat yang tidak berasas yang disebarkan oleh Amerika untuk mengasingkan (Korea Utara) di persada dunia," kata kenyataan itu.

"Di sebalik propaganda itu ialah niat jahat Amerika untuk menghalalkan tindakan jenayahnya mendukung Israel," kata kenyataan itu.

Korea Utara didakwa bergantung sumber pendapatan daripada eksport senjata. Ia diketahui mempunyai hubungan dagang senjata yang lama dengan Syria dan Iran.

Pada 2009, sebuah pesawat membawa 35 tan senjata dari Korea Utara membuat pendaratan cemas di Bangkok dan kemudian dirampas.

Pesawat itu dipercayai menuju ke Iran dan senjata itu dikatakan untuk kegunaan Hizbullah.