SEOUL: Ketua Turus Angkatan Tentera Korea Selatan Jeneral Park An-su pada Khamis berkata beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatannya kepada bekas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun berhubung pengisytiharan undang-undang tentera oleh Presiden Yoon Suk Yeol, namun presiden menolak tawarannya.

Menurut Agensi Berita Yonhap, Park telah dinamakan untuk mengetuai pemerintahan tentera yang bersifat sementara susulan pengisytiharan secara mengejut Yoon pada Selasa malam sebelum Presiden menarik balik keputusan itu beberapa jam kemudian apabila Parlimen yang dikuasai oleh pihak pembangkang mengundi untuk menolaknya.

Park mendedahkan perkara itu semasa sesi tergempar jawatankuasa pertahanan parlimen, dengan menyatakan bahawa beliau menawarkan untuk meletakkan jawatan pada hari sebelumnya.

Namun, Yoon menolak tawaran peletakan jawatan Park dengan alasan situasi keselamatan, menurut pejabat presiden.

"Yoon menekankan keperluan untuk operasi ketenteraan yang stabil berikutan situasi keselamatan yang serius dan menggesa Ketua Turus Angkatan Tentera untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugasnya," kata seorang pegawai kanan presiden.

-- BERNAMA