Menurut agensi berita Yonhap, Kim yang mencadangkan pengisytiharan undang-undang tentera kepada Presiden, menawarkan untuk meletak jawatan pada Rabu selepas Yoon secara mengejut mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa malam. Yoon kemudiannya menarik balik perintah itu beberapa jam kemudian susulan keputusan Perhimpunan Kebangsaan untuk membatalkannya.
Ketua Turus Presiden Chung Jin-suk, dalam satu sidang media berkata Yoon telah mencalonkan Choi Byung-huk, bekas jeneral Tentera Darat yang kini berkhidmat sebagai duta Korea Selatan ke Arab Saudi untuk menggantikan Kim.
Chung memperkenalkan Choi sebagai seorang profesional tentera berpengalaman dengan pemahaman mendalam mengenai keselamatan negara serta pengalaman lapangan yang luas.
Calon itu dianggap sesuai untuk "memenuhi tanggungjawab teras ketenteraan, termasuk mengekalkan kesiapsiagaan kukuh berdasarkan pakatan Korea Selatan-AS yang teguh," kata Chung.
Di Korea Selatan, semua menteri perlu melalui proses pengesahan parlimen, tetapi hanya pelantikan perdana menteri memerlukan kelulusan parlimen.
-- BERNAMA