Dalam kenyataan pada Jumaat, pejabat presiden Tunisia memaklumkan Saied membuat keputusan pada 20 Mac 2025, untuk menamatkan tugas Madouri sebagai Perdana Menteri dan melantik Zanzari sebagai penggantinya.
Presiden tidak memberikan sebarang sebab pemecatan Madouri.
Zanzari sebelum ini berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dan Peralatan sejak Oktober 2021. Sebelum ini, beliau adalah Ketua Pengarah Jambatan dan Jalan Raya dalam kementerian yang sama.
Madouri dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2024, berikutan peletakan jawatan Ahmed Hachani. Sebelum menjadi Perdana Menteri, Madouri berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Sosial.
Dalam perkembangan lain, Presiden Saied turut melantik Salah Zouari sebagai Menteri Perumahan dan Peralatan yang baharu.
Sejak langkah luar biasa Saied pada 25 Julai 2021, termasuk pembubaran badan kehakiman dan parlimen, Zanzari menjadi Perdana Menteri keempat Tunisia dalam tempoh tersebut.
Tunisia sedang berdepan krisis politik yang semakin meruncing, sekali gus memburukkan lagi keadaan ekonomi negara itu sejak 2021.
-- BERNAMA
