ISTANBUL (Turki): Presiden Parlimen Eropah, David Sassoli, meninggal dunia awal pagi Selasa pada usia 65.

Jurucakapnya Roberto Cuillo dalam ciapan di tweeter berkata Sassoli meninggal dunia pada 1.15 pagi di Pusat Rujukan Onkologi (CRO) di Aviano, Itali, tempat beliau menerima rawatan, lapor Agensi Anadolu.

"Tarikh dan tempat pengebumian akan dimaklumkan dalam beberapa jam lagi," tambah Cuillo.

Sassoli dimasukkan ke hospital pada 26 Dis di Itali, menurut pejabatnya pada Isnin, kerana "mengalami komplikasi serius berkaitan sistem imun."

Pada September tahun lalu, beliau dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru, dan tidak dapat mempengerusikan sesi pleno dan menghadiri mesyuarat peringkat tinggi selama berminggu-minggu.

-- BERNAMA