Presiden Mulino menegaskan, Panama bersama rakyatnya secara tegas menolak kenyataan Trump berkaitan Panama dan Terusan Panama yang disampaikan dalam ucapan pertamanya selepas mengangkat sumpah jawatan Presiden.
"Terusan ini adalah milik Panama dan akan kekal berada di bawah kawalan kami dengan mematuhi prinsip berkecuali secara berterusan," kata Mulino menerusi platform media sosial X.
Beliau juga menekankan, tiada negara lain yang boleh campur tangan dalam pengurusan Terusan Panama.
"Selama 25 tahun, tanpa gangguan, kami mengurus dan memperluaskannya secara bertanggungjawab untuk kepentingan perdagangan dunia, termasuk Amerika Syarikat," katanya.
Mulino turut menegaskan, Panama akan terus mempertahankan hak kedaulatan mereka berdasarkan undang-undang yang melindungi negara, termasuk Perjanjian Torrijos-Carter, maruah sebagai sebuah negara serta undang-undang antarabangsa dalam menguruskan hubungan antara negara, terutama antara sekutu dan rakan.
Beliau berkata, dialog adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang isu tanpa menjejaskan hak, kedaulatan penuh dan pemilikan negara terhadap terusan itu. - BERNAMA