Beliau berkata kerjasama itu bukan sahaja akan membantu menyumbang kepada usaha memelihara keamanan dan kestabilan serantau malah menggalakkan pembangunan dan kemakmuran dunia.
Beliau dalam lawatan ke Indonesia dari 19 hingga 21 Oktober untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Indonesia di Jakarta pada 20 Oktober.
Atas undangan kerajaan Indonesia, Han sebagai wakil khas Presiden China Xi Jinping telah bertemu dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan menyampaikan tahniah dan restu dari Xi kepada Prabowo.
Han menyatakan bahawa sebelum ini, Prabowo pernah mengadakan lawatan ke China sebagai Presiden terpilih, mencerminkan persahabatannya dengan China dan aspirasinya mahu mengembangkan hubungan dua hala.
Xi dan Prabowo telah mencapai konsensus penting untuk terus memperkukuh dan memperhalusi pelaksanaan program kerjasama kedua-dua negara.
"Siri cadangan yang dibentangkan Presiden Prabowo dalam ucapan angkat sumpahnya, seperti kemandirian dalam bidang bahan makanan dan pembasmian kemiskinan, bertepatan dengan konsep pembangunan Xi Jinping yang berpaksikan rakyat.
"Saya mengeluarkan tiga cadangan untuk terus mengembangkan hubungan dua hala pada masa depan, iaitu terus memupuk rasa saling percaya dari segi strategik, memperincikan pelaksanaan program kerjasama yang saling menguntungkan dari segenap aspek dan mengeratkan lagi koordinasi di arena antarabangsa," kata Han.
Sementara itu, Prabowo menyatakan bahawa kerajaan baharu Indonesia amat mementingkan hubungan dengan China, akan terus menyuburkan persahabatan dengan China seperti mana yang dilaksanakan bekas Presiden Joko Widodo.
Menurut beliau, Indonesia akan terus menyokong antara satu sama lain, memperkasa kerjasama yang saling menguntungkan, mempertingkat penyelarasan dalam menangani urusan antarabangsa dan serantau, serta mendorong hubungan bilateral mencapai kemajuan yang lebih besar.
--BERNAMA-CMG