TOKYO: Jenama fesyen mewah Itali Prada dan syarikat pemula Amerika Syarikat (AS) Axiom Space Inc melancarkan rekaan sut angkasa lepas baharu pada Rabu.

Sut itu yang dibangunkan untuk program penerokaan Bulan Artemis NASA, turut melibatkan Jepun, lapor Agensi Berita Kyodo.

Sut itu dengan rekaan menutup keseluruhan badan angkasawan dibuat daripada bahan berwarna putih yang kalis suhu tinggi dan pasir halus, dengan garisan merah bagi menambah elemen reka bentuk yang menarik.

Dua angkasawan Jepun dijangka menjejakkan kaki di Bulan dengan memakai sut itu.

Program Artemis yang diterajui Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menyasarkan untuk menghantar angkasawan ke permukaan bulan pada 2026, yang pertama dilancarkan sejak misi Apollo dilancarkan lebih setengah abad lalu.

-- BERNAMA