Turut mengangkat sumpah ialah Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden Indonesia bagi tempoh yang sama, menggantikan Ma’aruf Amin.
Prabowo yang berusia 73 tahun memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu selepas memenangi Pilihan Raya Presiden pada Februari lalu bersama Gibran, dengan meraih lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah undi.
Majlis dimulakan dengan Ketua Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Ahmad Muzani membuka sidang sebelum sekali lagi jumlah keputusan rasmi undi yang dimenangi Prabowo-Gibran dibacakan.
Prabowo dan Gibran kemudian melafazkan sumpah jawatan masing-masing.
"Demi Allah, saya bersumpah akan memenuhi kewajipan Presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, memegang teguh Undang-undang Dasar dan menjalankan segala undang-undang peraturannya dengan selurus-lurusnya serta berbakti kepada nusa dan bangsa,” lafaz Prabowo sekitar pukul 10.30 waktu tempatan hari ini.
Setelah proses pelantikan selesai, Jokowi-Ma'ruf dan Prabowo-Gibran bertukar tempat duduk sebagai menandakan peralihan kuasa secara rasmi.
Sejurus itu, Prabowo menyampaikan pidato pertamanya sebagai Presiden kelapan Republik Indonesia.
Majlis angkat sumpah pelantikan Presiden dan Naib Presiden Indonesia disaksikan 20 ketua negara asing termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain Anwar, antara pemimpin dan ketua negara yang hadir adalah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; serta Presiden Ferdinand R Marcos Jr.