Dalam video itu, Prabowo mengadu bahawa wujud penyelewengan dalam proses kiraan undi dan mendakwa wujud amalan politik wang secara besar-besaran bagi memastikan kekalahannya.
Bekas jeneral Angkatan Tentera Indonesia yang pernah terpalit dengan dakwaan terlibat dalam tragedi pembunuhan beramai-ramai di Timur Leste itu juga menyeru semua penyokongnya di seluruh republik itu memastikan 'kedaulatan rakyat Indonesia' tidak dirompak.
Di sebalik keraguan yang dilemparkan terhadap proses pungutan suara yang masih belum dikonklusikan sepenuhnya itu, ucapan selamat dalam pelbagai fahaman menerusi video berdurasi 3.16 minit ini menonjolkan pluralism agama yang diamalkan warga Indonesia, lantas menjadi tarikan tersendiri tatkala proses demokrasi terbesar rantau ini sedang berdepan dugaan.
Bukan sahaja 'shalom' malah, Prabowo turut mengucapkan selamat mengikut fahaman Hindu dan Buddha.
'Shalom' sering dikaitkan dengan ucapan selamat oleh penganut agama Yahudi.
Fahaman Yahudi sebenarnya sudah bertapak di kepulauan Nusantara sejak zaman kolonialism barat lagi.
Malah pada pertengahan kurun ke-19, seorang pemimpin agama Yahudi di Eropah Timur Jocob Saphir pernah menulis mengenai kewujudan komuniti Yahudi di Jakarta, Surabaya dan Semarang.
Laporan menunjukkan komuniti Yahudi Indonesia kini berjumlah 5,000 dan berada di beberapa bandaraya utama Indonesia seperti Jakarta, Bandung, Bali, juga Semarang.
Kerajaan Indonesia pada 2016 memberi jaminan bahawa agama Yahudi bebas dianuti dan diamalkan warganya sejajar dengan Perlembagaan Republik Indonesia.
Namun dalam konteks Indonesia, ucapan 'shalom' ditujukan kepada penganut Katolik.
Ucapan ini bukan unik kepada Prabowo, malah Presiden Indonesia, Joko Widodo turut menggunakan variasi ucapan selamat ini dalam ucapannya.
Menurut laporan media Indonesia, Kumparan.com, Jokowi selalunya memulakan dengan ucapan salam, kemudian, mengikut kesesuian dan lokasi, ia akan ditambah dengan 'Salam sejahtera bagi kita semua, Shalom, Om swastiastu, Namo buddhaya, Salam kebajikan.'
Satu persatu, 'salam sejahtera' adalah untuk penganut agama Kristian, 'shalom' untuk Katolik, 'Om swastiastu' untuk Hindu di Bali, 'Namo buddhaya' untuk penganut agama Buddha dan 'salam kebajikan' untuk fahaman Konfusianisme.
Menariknya, calon Wakil Presiden Indonesia, Sandiaga Uno turut menggunakan ucapan penuh ini dalam kempennya.
Ucapan selamat lain termasuk 'Sampurasun' yang hanya unik di Jawa Barat dan ucapan 'merdeka' yang disampaikan Presiden Indonesia Pertama, Sukarno.