Seorang pelancong Britain dan seorang pelancong Kanada berdepan dengan hukuman penjara 10 tahun sekiranya disabitkan kesalahan membuat lukisan grafitti pada tembok bersejarah Chiang Mai, yang merupakan antara tapak pelancongan utama di bandar raya ini dikenali sebagai 'Tha Phae Gate'.

Furlong Lee dari Britain dan Brittney Schneider dari Kanada, kedua-duanya berusia 23 tahun, yang ditahan tengah hari semalam, juga boleh dikenakan denda 1 juta Baht (RM131,000) oleh mahkamah kerana kesalahan itu.

"Walaupun tuduhan terhadap mereka adalah melakukan vandalisme, tetapi hukuman berat perlu dikenakan kerana mereka mencemarkan tempat bersejarah yang amat tinggi nilainya bagi orang ramai," kata Ketua Polis Chiang Mai Kol Teerasak Sriprasert seperti dipetik media hari ini.

Menurut beliau, polis sedang memburu dua lagi warga asing yang turut berada di tempat itu semasa kejadian.

Pada kira-kira 4 pagi Khamis, kamera keselamatan berhampiran tempat itu merakam imej dua pelancong berkenaan menulis perkataan "Scouser Lee B" dengan semburan cat pada tembok berkenaan, yang dibina pada abad ke-13, dan perbuatan mereka itu diperhatikan dua warga asing lain.

Perbuatan yang didakwa mereka lakukan terhadap tapak bersejarah yang amat disayangi penduduk tempatan itu mendapat kutukan hebat daripada netizen Thailand, sekali gus mendorong pihak berkuasa memberi reaksi segera dan mungkin mengenakan hukuman berat.

Polis percaya, semua rakyat asing yang mempunyai kaitan dengan perbuatan itu berada di bawah pengaruh alkohol.

"Scouser" adalah perkataan selanga Britain merujuk kepada seseorang yang berasal dari Liverpool.

-- BERNAMA