MOSCOW: Perdana Menteri United Kingdom Keir Starmer berkata beliau menjangka mereka yang ditangkap kerana terlibat dalam rusuhan yang berlaku selepas serangan tikaman di bandar Southport akan dijatuhi hukuman menjelang akhir minggu ini, lapor Sputnik.

Lebih 400 penunjuk perasaan ditahan berhubung protes terhadap serangan di Southport pada 29 Julai yang menyebabkan tiga kanak-kanak maut dan beberapa lagi cedera.

Starmer berkata beliau menjangkakan "hukuman substantif sebelum akhir minggu ini", menurut laporan Sky News.

"Ia seharusnya memberi mesej yang sangat kuat kepada sesiapa yang terlibat, sama ada secara langsung atau dalam talian, bahawa anda mungkin akan dihadapkan dalam masa seminggu dan tiada sesiapa yang patut melibatkan diri dalam kekacauan ini," kata perdana menteri itu seperti dipetik oleh penyiar pada Selasa.

Penunjuk perasaan sayap kanan mengadakan protes menentang kebanjiran migran di seluruh negara selepas laporan yang tidak disahkan mendakwa bahawa penyerang di Southport merupakan seorang pelarian.

Penyerang kemudian dikenal pasti sebagai seorang remaja lelaki dari Wales berketurunan Rwanda.

Serangan berlaku pada 29 Julai, mengakibatkan kematian tiga kanak-kanak dan kecederaan kepada beberapa yang lain.

-- BERNAMA