Perdana Menteri Narendra Modi bakal bergandingan dengan pengacara program kembara lasak British, Bear Grylls, dengan menjelajah isi hutan bagi meningkatkan kesedaran tentang usaha melindungi alam semula jadi.

Perkembangan itu diumumkan oleh Grylls sendiri, yang terkenal dengan penyampaian cerita kembara yang ekstrem, Man vs Wild di saluran Discovery Channel.

Reuters melaporkan, India sangat terdesak untuk melindungi khazanah alam semula jadi dan hidupan liarnya, yang kini terancam aakibat peningkatan populasi.

"Penonton di 180 buah negara akan dapat melihat sisi Narendra Modi yang tidak pernah diketahui, terutamanya ketika memasuki hutan India. Semuanya demi meningkatkan kesedaran umum tentang usaha konservasi haiwan dan perubahan persekitaran,” ujar Grylls di Twitternya.

Sebuah trailer program khas itu menunjukkan Modi, 68, memandu ke dalam Taman Negara Jim Corbett di Uttarakhand sambil ditemani Grylls, selain diselang-seli dengan imej harimau, sekawan gajah dan rusa.

Modi berkata, beliau membeesar dalam persekitaran semula jadi dan program Grylls merupakan peluang untuk mempamerkan kepelbagaian hidupan liar India.


"Anda ialah individu paling penting di India, adalah tugas saya untuk melindungi anda,” ujar Grylls kepada Modi.

Modi berkata, beliau membeesar dalam persekitaran semula jadi dan program Grylls merupakan peluang untuk mempamerkan kepelbagaian hidupan liar India.

"Selama bertahun-tahun, saya hidup dalam alam semula jadi, di pergunungan dan juga rimba.
“Selama itu juga ia meninggalkan impak dalam hidup saya. Maka apabila ditanya tentang program khas yang menumpukan hal tentang kehidupan selain politik, dan khusus tentang alam, saya sangat teruja dan mahu menyertainya,” kata Modi seperti yang dipetik Discovery.

Program itu, yang bakal bersiaran pada 12 Ogos nanti, berjaya mencuri perhatian para peminat Modi, yang berjaya mengekalkan tampuk pentadbiran buat dua penggal berturut-turut.