Pilihan raya Presiden Venezuela bagi menggantikan mendiang Hugo Chavez ditetapkan pada 14 April ini. Perkara itu diumumkan suruhanjaya pilihan raya negara berkenaan susulan pelantikan rasmi Nicolas Maduro sebagai pemangku presiden.

Maduro selaku pemangku presiden akan menjalankan tugas pentadbiran parti sehingga pilihan raya berakhir.

Beliau bagaimanapun dijangka menerima tentangan hebat calon pembangkang, Henrique Capriles yang kalah kepada Chavez pada pilihan raya presiden pada Oktober lalu.

Chavez meninggal dunia pada 5 Mac lalu selepas lama bertarung dengan penyakit barah.

Ketika keadaan kesihatannya semakin teruk, beliau sempat menamakan Maduro sebagai penggantinya.

Dalam pada itu ribuan rakyat Venezuela terus memberi penghormatan kepada mendiang Chavez di Akademi Tentera.

Suasana sedih yang berpanjangan sebelum ini telah menimbulkan spekulasi bahawa negara berkenaan berada dalam keadaan tidak bersedia untuk melaksanakan proses pilihan raya yang sepatutnya diadakan dalam tempoh 30 hari selepas Chavez meninggal dunia.