BEIRUT: Pesawat tempur Israel menyerang ibu pejabat sebuah saluran TV di Beirut pada lewat Isnin, menandakan kali pertama institusi media Lubnan disasarkan dalam serangan besar-besaran ke atas negara itu, lapor Agensi Anadolu.

Menurut wartawan Anadolu, serangan udara Israel meruntuhkan ibu pejabat saluran TV pro-Hezbollah, Al-Sirat di kawasan pinggir bandar selatan Beirut.

Sebelum serangan, tentera Israel mengarahkan kakitangan saluran TV itu untuk meninggalkan bangunan, mendakwa lokasi itu digunakan untuk menghasilkan "alat pertempuran."

Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan itu.

Hezbollah menafikan bahawa mereka menyimpan senjata di dalam bangunan-bangunan awam yang diserang oleh pesawat tempur Israel, termasuk ibu pejabat saluran TV Al-Sirat.

Sejak 23 Sept, Israel melancarkan serangan udara besar-besaran terhadap apa yang didakwa sebagai sasaran Hezbollah di seluruh Lubnan yang mengorbankan lebih 1,057 orang dan mencederakan lebih 2,950 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Lubnan.

Beberapa pemimpin Hezbollah terbunuh dalam serangan itu termasuk pemimpin utamanya, Hassan Nasrallah.

Hezbollah dan Israel terlibat dalam perang rentas sempadan sejak bermulanya perang Israel di Gaza pada Oktober tahun lalu.

Masyarakat antarabangsa memberi amaran bahawa serangan Israel di Lubnan boleh mencetuskan perang serantau yang lebih meluas.

-- BERNAMA