Bangkai pesawat yang membawa pemain bola sepak Liga Perdana Inggeris, Cardiff City Emiliano Sala dan juruterbang David Ibbotson, akhirnya ditemui di Selat Inggeris, kata saintis marin yang mengetuai pencarian.

Penemuan itu dibuat pasukan penyiasat persendirian selepas pesawat itu dilaporkan hilang pada 21 Januari lepas.

Pemain warga Argentina berusia 28 tahun itu sedang menuju ke Nantes di barat Perancis bersama juruterbangnya bagi membuat penampilan pertama bersama Cardiff.

Keluarga Sala melancarkan pencarian yang dibiayi dana umum pada Ahad, selepas pihak berkuasa menghentikan pencarian pesawat itu secara rasmi.

Minggu lepas beberapa dua kusyen kerusi yang dipercayai dari pesawat malang itu ditemui dipersisiran pantai Perancis.

"Bangkai pesawat yang membawa Emiliano Sala dan juruterbang David Ibbotson ditemui awal pagi ini," kata ketua pencarian David Mearns menerusi akaun Twitter miliknya.


Mearns berkata, keluarga Sala dan Ibbotson telahpun dimaklumkan dengan perkembangan ini.

"Ahli keluarga Emiliano Sala dan David Ibbotson telah dimaklumkan oleh polis. Ingatan kami bersama keluarga dan rakan kedua-dua mereka," kata Mearns.

Jelasnya lagi Cawangan Siasatan Kemalangan Udara Britain (AAIB) akan mengeluarkan kenyataan rasmi esok.

Sementara itu AAIB telah mengerah kapalnya menuju ke lokasi penemuan bangkai pesawat itu.