ARIZONA: Suhu tinggi yang berterusan di barat Amerika Syarikat bukan sahaja memberi tekanan kepada sistem kuasa, malah menyebabkan paras air takungan utama di sungai Lake Mead merosot ke tahap terendah dalam sejarah.

Terletak di sempadan Arizona-Nevada dan lebih 40 kilometer ke timur Las Vegas, Lake Mead yang dibentuk oleh Empangan Hoover di Sungai Colorado merupakan takungan terbesar di negara itu.

Malah ia membekalkan air kepada tujuh negeri di bahagian barat Amerika Syarikat dan utara Mexico.

Selain itu, 75 peratus rizab air Lake Mead digunakan untuk industri pertanian di kawasan barat dan keadaan ini nyata mendatangkan cabaran kepada sektor tersebut.

Sebelum ini kerajaan mengumumkan Sungai Colorado akan berdepan situasi kekurangan air sekunder bermula Januari depan.

Ia akan mengurangkan penggunaan sumber air sungai tersebut dengan pembahagian air di Arizona dikurangkan kepada 21 peratus dan Nevada sebanyak lapan peratus.