Kejadian itu susulan puluhan ribu penunjuk perasaan menggesa Perdana Menteri, Sheikh Hasina meletakkan jawatan.
Angka kematian termasuk 13 anggota polis adalah yang tertinggi untuk sehari daripada sebarang protes dalam sejarah Bangladesh.
Ini mengatasi 67 kematian yang dilaporkan pada 19 Julai apabila pelajar turun ke jalanan menuntut kuota dimansuhkan untuk pekerjaan kerajaan.
Kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung tanpa had di seluruh negara bermula jam 6 petang, pada Ahad.
Kerajaan juga mengumumkan cuti umum tiga hari bermula dari Isnin.
Pergolakan itu telah mendorong kerajaan untuk menutup perkhidmatan internet.
Protes itu adalah ujian terbesar Hasina dalam rejimnya selama 20 tahun selepas memenangi penggal keempat berturut-turut dalam pilihan raya yang diboikot oleh pembangkang utama Parti Nasionalis Bangladesh.
Pengkritik Hasina, bersama-sama kumpulan hak asasi manusia, telah menuduh kerajaannya menggunakan kekerasan yang berlebihan terhadap penunjuk perasaan.
Penunjuk perasaan menyekat lebuh raya utama untuk mendesak agar kerajaan meletakkan jawatan ketika keganasan merebak ke seluruh negara.
Balai polis dan pejabat parti pemerintah menjadi sasaran ketika keganasan menggegarkan negara dengan 170 juta penduduk itu.
13 anggota polis dipukul hingga mati di daerah barat laut Sirajganj.