Golongan perniagaan India menyambut baik pakej rangsangan bernilai 20 trilion rupee (AS$266 bilion) oleh Perdana Menteri Narendra Modi untuk ekonomi yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.

India, yang menguatkuasakan perintah berkurung terbesar di dunia dalam usaha memerangi COVID-19 supaya sebahagian besar daripada 1.3 juta penduduknya berada di rumah, dijangka mula memberi kelonggaran ke atas perniagaan dan pergerakan rakyat dalam tempoh terdekat.

Modi dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen pada Selasa berkata kerajaan akan mengumumkan peraturan baharu mengenai kaedah menggerakkan ekonomi ke hadapan ketika India berusaha mengekang wabak itu, yang menjangkiti lebih 74.000 orang.

India akan menumpukan sara sendiri dalam keadaan dunia pasca pandemik dan pakej kewangan yang bersamaan dengan sekitar 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan membantu ekonomi negara, kata perdana menteri.

"Pakej ini akan memberikan dorongan baharu untuk perjalanan pembangunan negara pada 2020 dan hala tuju baharu kempen India bagi kebergantungan sendiri, Bagi membuktikan tekad India, tanah, tenaga kerja, mudah tunai dan undang-undang semuanya ditekankan dalam pakej ini," kata Modi.

Perincian lebih lanjut mengenai rancangan tersebut dijangka diumumkan oleh Menteri Kewangan Nirmala Sitharaman.

"Penekanan utama perdana menteri untuk tidak bergantung kepada pihak lain dan memperkukuh pembuatan domestik India sememangnya dialu-alukan," kata Ketua Pengarah Gabungan Industri India (CII), Chandrajit Banerjee.

"Sudah sampai masanya untuk India mempunyai impian besar. Apa yang dilakukan menerusi pakej ini adalah mengukuhkan impian India," kata Presiden Persekutuan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India (FICCI) Sangita Reddy.

Krisis COVID-19 telah menjejaskan ekonomi India dengan teruk kerana berjuta-juta pekerjaan mungkin berdepan risiko kehilangan dalam sektor seperti pembuatan, perhotelan, peruncitan, pembinaan dan pengangkutan.

Berdasarkan ekonomi tidak rasmi menyumbang 90 peratus kepada guna tenaga, kesan perintah berkurung belum berlaku sepenuhnya.

-- BERNAMA