HARI ini menjadi hari terakhir Mojahid Al-Khodari bernafas di muka bumi. Pemuda Palestin ini terkorban terkena bedilan udara tentera Israel di selatan Gaza.

Jenazah Mojahid diusung dengan diiringi ratusan penduduk Gaza dalam perjalanan terakhirnya menuju tempat persemadian.

Kematian Mojahid tidak merentap semangat juang penduduk Gaza yang memperjuangkan hak mereka kembali ke tanah tumpah darah yang dirampas secara rakus oleh pihak rejim.

Penduduk Gaza mendirikan khemah menuntut supaya pelarian Palestin dibenarkan kembali ke tanah air mereka - Foto REUTERS

Sejak tunjuk perasaan bermula lebih seminggu lalu, sekurang-kurangnya 21 orang telah menjadi korban tanpa mengira usia dan jantina.

Namun hak tetap hak, tunjuk perasaan enam minggu yang dinaungi pergerakan Hamas itu tetap akan diteruskan dan kemuncaknya pada 15 Mei depan sempena ulang tahun ke-70 kewujudan Israel.

Pada tarikh itu, warga Gaza bertekad akan berarak merentasi pagar yang memisahkan Palestin dengan tanahnya yang kini dijajah rejim.

Mereka tidak gentar meskipun bakal gugur dihujani peluru dan ledakan bom tentera zionis.