SINGAPURA: Ekonomi Singapura berkembang sebanyak 4.0 peratus pada 2024, melebihi jangkaan, menurut Perdana Menteri Lawrence Wong.

Wong yang juga Menteri Kewangan berkata dengan ekonomi yang lebih kukuh, pendapatan sebenar negara dijangka terus meningkat.

"Berbeza dengan banyak negara maju, kita tidak berdepan dengan pengangguran dan gaji yang tidak meningkat. Kebanyakan pekerja menerima kenaikan gaji yang melebihi kadar inflasi, menjadikan mereka lebih baik dalam istilah sebenar.

Sepanjang dekad lepas, pendapatan median meningkat sebanyak 2.2 peratus setahun mengatasi kadar inflasi," katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2025 pada Selasa.

Pada November, Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) menyatakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Singapura bagi 2024 diunjurkan sekitar 3.5 peratus.

Kementerian itu dijangka mengeluarkan anggaran awal KDNK untuk suku keempat dan keseluruhan bagi 2024 pada Khamis.

Melangkah ke hadapan, Perdana Menteri berkata beliau akan menggariskan langkah seterusnya dalam Forward Singapore menerusi Belanjawan 2025, yang akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Februari.

Beliau berkata kerajaan berhasrat untuk meningkatkan daya saing ekonomi Singapura, mencipta peluang dan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Singapura serta terus meringankan beban kos sara hidup.

"Kami akan menyediakan bantuan yang lebih bersasar kepada mereka yang sukar untuk menyesuaikan diri, terutamanya golongan warga emas dan berpendapatan rendah. Namun, kami juga tidak akan mengabaikan segmen lain, termasuk golongan berpendapatan sederhana dan pertengahan usia yang menjaga ibu bapa tua dan anak-anak kecil," katanya.

Wong turut menyebut mengenai kedatangan 2025 yang menandakan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.

Beliau mengingatkan, walaupun ia merupakan kesempatan untuk diraikan, pencapaian itu juga menjadi masa untuk rakyat Singapura merenung nilai bersama, identiti dan prinsip yang mereka perjuangkan.

"Yang lebih penting, ini adalah peluang untuk membayangkan bagaimana kita boleh membentuk masa hadapan bersama," katanya.

-- BERNAMA