TOKYO: Seramai 650,000 orang di Jepun menyalahgunakan ubat tanpa preskripsi tahun lepas dengan remaja menjadi kumpulan paling terjejas, menurut satu kajian baharu oleh Kementerian Kesihatan Jepun, lapor Xinhua.

Kira-kira 0.75 peratus penduduk berusia 15 hingga 64 tahun menggunakan ubat belian kaunter (OTC) seperti penahan batuk dan ubat tahan sakit untuk tujuan khayal, lapor Agensi Berita Kyodo, memetik penemuan daripada penyelidikan terkini Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan.

Kajian itu menawarkan pemahaman lebih baik mengenai skop penyalahgunaan ubat dalam kalangan remaja mendedahkan bahawa kira-kira 85,000 remaja atau 1.46 peratus daripada mereka yang berusia 15 hingga 19 tahun menyalahgunakan ubat.

Kadar itu lebih tinggi berbanding mana-mana kumpulan umur lain.

Takuya Shimane, seorang penyelidik di Pusat Neurologi dan Psikiatri Kebangsaan, berkata hasil kajian itu dengan jelas menunjukkan bahawa penyalahgunaan ubat "berpusat pada remaja", lapor Kyodo.

Penemuan itu menekankan keperluan untuk menyemak semula peraturan penjualan ubat dan menyokong mereka yang menyalahgunakan ubat. Kementerian merancang untuk mengehadkan penjualan ubat OTC dalam kuantiti yang banyak kepada individu di bawah umur 20 tahun.

Shimane yang mengetuai kajian itu turut menekankan kepentingan mendidik pelajar sekolah menengah mengenai risiko pengambilan ubat secara berlebihan.

Penyelidikan yang dijalankan antara Oktober dan Disember melalui soal selidik dihantar melalui pos, menerima 3,026 jawapan sah daripada 5,000 penerima.

Buat pertama kali, soal selidik itu bertanya kepada responden sama ada mereka pernah menggunakan dadah tanpa preskripsi melebihi dos yang betul untuk mengubah 'mood' mereka, lapor Kyodo.

-- BERNAMA