Susulan pemberhentian operasi kerajaan Amerika Syarikat yang diumumkan Selasa.

Presiden negara itu Barack Obama dalam ucapannya di Washington dengan lantang menyelar tindakan anggota perwakilan Republikan yang dikatakan punca masalah itu berlaku.

Beliau malah menggunakan istilah cuai dan menyifatkannya sebagai satu perang ideologi Republikan terhadap Demokrat.

Menurut Obama penutupan berkenaan sekaligus menghalang usaha kerajaan untuk menyediakan insurans kesihatan penting kepada 15 peratus penduduk Amerika Syarikat yang tidak mempunyai kemudahan itu.

Beliau menganggap tindakan itu menghairankan kerana terdapat segelintir pihak yang mempunyai agenda tertentu dan cuba mensabotaj usaha pentadbirannya.

Kongres negara itu bertanggungjawab menghentikan operasi kerajaan, selepas membuat undian buat kali keempat pada Selasa menolak Pelan Kesihatan yang diusulkan Obama.

Bagi mencari penyelesaian kebuntuan itu, Ketua Dewan Senat Harry Reid mengesyorkan supaya pihak Demokrat mengkaji semula rancangan berkenaan.

Bagaimanapun cadangan itu ditolak.

Dewan Rendah pada Jumaat menyertakan pindaan bersama perbelanjaan yang diluluskan Senat meminta agar perlaksanaan pelan kesihatan Obama ditunda untuk tempoh setahun.

Perkembangan yang berlaku menyebabkan kakitangan kerajaan persekutuan terpaksa menghentikan kerja mereka kecuali untuk beberapa sektor kritikal.

Perkhidmatan seperti kawalan sempadan, pemeriksaan daging dan trafik udara akan kekal beroperasi namun, pengeluaran pasport akan tergendala.

Dalam meraih sokongan pentadbiran Barack Obama sebelum ini berusaha untuk memujuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana membeli skim insurans kesihatan baru yang disubsidi kerajaan.