ALEPPO: Pihak berkuasa Syria menutup Lapangan Terbang Aleppo serta semua jalan menuju ke bandar itu pada Sabtu, selepas kumpulan penentang Presiden Bashar Al-Assad memasuki tengah Aleppo.

Pejuang pembangkang, diketuai kumpulan Hayat Tahrir al-Sham, melakukan serangan mengejut di bandar-bandar dikuasai kerajaan minggu ini dan tiba di Aleppo selepas hampir sedekad dihalau Assad dan sekutunya.

Menurut Reuters, yang memetik sumber tentera Syria, Rusia salah satu sekutu utama Assad, telah menjanjikan Damsyik bantuan ketenteraan tambahan untuk menggagalkan kumpulan penentang.

Tentera Syria telah diberitahu untuk mengikuti arahan "pengunduran selamat" dari kawasan utama bandar yang dimasuki penentang.

Penentang memulakan pencerobohan mereka pada Rabu dan menjelang lewat Jumaat mereka sedang mengambil pelbagai kawasan kejiranan Aleppo.

Mereka kembali ke bandar itu buat kali pertama sejak 2016 apabila Assad dan sekutunya Rusia dan Iran merampasnya semula pada tahun itu.

Seorang Komander dalam Bridged penentang Jaish Al-Izza, Mustafa Abdul Jaber berkata, kemajuan pantas mereka minggu ini dibantu oleh kekurangan tenaga kerja yang disokong Iran di wilayah Aleppo.

Sekutu Iran di rantau ini telah mengalami beberapa siri tamparan susulan perang di Gaza yang telah berkembang di Asia Barat.

Pejuang penentang berkata, kempen itu sebagai tindak balas kepada serangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini terhadap orang awam oleh tentera udara Rusia dan Syria di kawasan di Idlib yang dikuasai penentang dan untuk mengelakkan sebarang serangan oleh tentera Syria.

Sumber pembangkang yang berhubung dengan perisikan Turki berkata, Turki yang menyokong penentang telah memberi lampu hijau kepada serangan itu.

Bagaimanapun, Jurucakap Kementerian Luar Turki, Oncu Keceli berkata, Turki berusaha untuk mengelakkan ketidakstabilan yang lebih besar di rantau itu dan telah memberi amaran serangan baru-baru ini menjejaskan perjanjian de-eskalasi.

Serangan itu adalah yang terbesar sejak Mac 2020, apabila Rusia dan Turki bersetuju dengan perjanjian untuk mengurangkan konflik.