Puteri Ubolratana Rajakanya Sirivadhana Barvanadi yang disingkirkan sebagai calon pilihan raya Thailand, meminta maaf pada Selasa kerana telah mendatangkan 'masalah' bagi rakyat negara itu menjelang pilihan raya 24 Mac ini.

Kakak Raja Thailand Raja Maha Vajiralongkorn itu membuat kenyataan itu sehari selepas Suruhanjaya Pilihan Raya Thai menyingkirkan namanya dari senarai rasmi calon perdana menteri.

Suruhanjaya tersebut mengulangi teguran Raja Maha Vajiralongkorn, bahawa kerabat diraja tidak harus melibatkan diri dalam politik dan pencalonan Puteri Ubolratana adalah “tidak wajar” serta menyalahi perlembagaan.

“Saya minta maaf kerana niat ikhlas saya ingin berkhidmat kepada negara dan rakyat Thai telah menyebabkan masalah yang tidak patut berlaku pada era ini,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya lewat Selasa, yang diakhiri dengan hashtag "#howcomeitsthewayitis".

BACA: Istana Thailand larang Puteri Ubolratana jadi calon PM, pencalonan ditarik balik




Pencalonan mengejut Ubolratana yang dibuat oleh parti yang setia kepada bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra, Thai Raksa Chart, itu telah membangkitkan keresahan banyak pihak.

Ini kerana, ia memecah tradisi keluarga diraja negara itu yang selama ini disanjung tinggi rakyatnya dan tidak pernah mencampuri urusan politik sebelum ini.



BACA: Pencalonan Puteri Thai sebagai PM cemar institusi diraja

Undang-undang pilihan raya Thailand melarang pembabitan monarki dalam kempen politik menyebabkan Suruhanjaya Pilihan Raya mempertimbangkan untuk membubarkan parti Thai Raksa Chart susulan pencalonan itu.

Pilihan raya akan datang, yang pertama sejak insiden rampasan kuasa pada 2014, dilihat sebagai pertandingan antara para penyokong dan sekutu Thaksin di satu pihak dan kerajaan yang disokong tentera di pihak yang lain.

Prayuth Chan-ocha, yang menjadi perdana menteri sejak mengetuai rampasan kuasa tersebut, turut dipilih sebagai calon untuk memimpin kerajaan seterusnya.