Pesawat udara rejim Israel berterusan membedil Semenanjung Gaza pada Jumaat, membunuh sekurang-kurangnya lima lagi penduduk Palestin. Serangan itu disusuli dengan puluhan serangan roket yang dilancar pejuang Palestin ke arah wilayah Israel.

Ketegangan terbaru ini menandakan tamatnya gencatan senjata tiga hari yang bermula Rabu lalu di tengah-tengah usaha kumpulan perunding untuk menyambungnya, menemui kegagalan.

Amerika Syarikat dalam satu kenyataan berkata pihaknya berharap usaha itu dapat dihidupkan semula dan satu gencatan senjata baru dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Harapan kami agar semua pihak terbabit bersetuju untuk meneruskan gencatan senjata untuk beberapa jam akan datang,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Marie Harf.

Dalam rundingan semalam, wakil Mesir yang menjadi perantara berkata perbincangan mengenai gencatan senjata menemui perkembangan positif tetapi Israel telah menarik semula wakil perundingnya dengan alasan enggan melakukan rundingan ketika wilayahnya diserang dengan roket.

Serentak itu juga, Perdana Menteri rejim Benjamin Netanyahu mengarahkan pihak tentera bertindak balas sepenuhnya dan menuduh Hamas sebagai punca gencatan senjata semalam dicabuli.

Gaza
Tentera udara rejim Israel mula melancarkan serangan ke Gaza beberapa ketika sebelum tempoh gencatan senjata tiga hari tamat pada Jumaat - AP Photo/Hatem Moussa

Pejuang Palestin didakwa telah melancarkan sekurang-kurangnya 40 roket ke wilayah Israel, mencederakan seorang orang awam dan seorang anggota tentera, kata tentera rejim.

“Sebagai tindak balas, tentera Israel telah membedil 51 lokasi dan mensasarkan kumpulan pejuang Palestin,” menurut kenyataan tentera itu lagi.

Gaza
Seorang lelaki Palestin sedang melihat kesan kemusnahan kediamannya yang rosak teruk dalam serangan Israel di Gaza - AFP PHOTO/ MOHAMMED ABED

Sekurang-kurangnya lima penduduk Palestin maut dalam serangan rejim pada Jumaat menjadikan jumlah terkorban di pihak Palestin kini 1,898 nyawa sejak operasi ketenteraan rejim dilancarkan 8 Julai lalu.

Menurut pegawai perkhidmatan kecemasan Palestin Ashraf al-Qudra, antara yang terbunuh adalah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.