Pembangkang Syria mendesak masyarakat antarabangsa menghalang Presiden Bashar Al-Assad daripada menggunakan senjata kimia terhadap penduduk awam.

Mereka mendakwa mempunyai bukti kukuh berhubung tuduhan berkenaan.

Dalam sidang media di Istanbul, jurucakap Perdana Menteri Pembangkang, Yasser Tabbara menjelaskan masyarakat antarabangsa perlu sedar dengan kekejaman yang berlaku di Syria.

Beliau juga hairan dengan sikap negara besar yang tidak memandang serius perkara berkenaan.

Pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mendakwa maklumat perisikan menunjukkan tentera Syria menggunakan gas sarin dalam dua serangan.

Beliau juga memberi amaran percaturan negaranya terhadap Damsyik boleh berubah.

Syria bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Menteri Penerangannya, Omran Al Zokbi menyifatkan tuduhan itu sebagai pembohongan besar.

Pada masa sama, Rusia menegaskan isu senjata kimia tidak boleh dijadikan alasan untuk membolehkan campur tangan di Syria secara ketenteraan.

Konflik antara kerajaan Syria dan tentera Assad sejak dua tahun lalu meragut lebih 70,000 maut.