BENGALURU:Seorang lagi pelakon India, Jayashree Ramaiah ditemukan mati tergantung di kediamannya di Bengaluru, semalam.

Laporan awal mempercayai peserta program popular Bigg Boss Kannada itu membunuh diri.

The Indian Express yang memetik jurucakap polis Bengaluru sebagai berkata, mayat Jayashree ditemukan dalam keadaan tergantung di bilik tidurnya di Pragathi,  Magadi Road pada pagi Isnin.

Mayat pelakon berusia 30 tahun itu dihantar ke hospital berhampiran untuk proses bedah siasat.

Meskipun mengikut siasatan awal kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun polis menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika wujud sebarang unsur jenayah.

Pelakon itu mula mencipta nama menerusi filem Uppu Huli Khara di bawah arahan Imran Sardhariya pada 2017.

Sementara itu, hantaran yang dikongsi Jayashree pada 22 Julai lalu di Facebooknya mencuri tumpuan peminatnya apabila mendiang mengambarkan dia berada dalam tekanan dan seolah-olah mahu menamatkan hidupnya.

"I quit. Goodbye to this f*****g world and depression." katanya.

Pun begitu, hantaran itu dipadam sebelum dimuat naik posting baharu yang mengatakan 'I’m Alright and safe!! Love you all.'

Sebelum ini, pada 9 Disember lalu, pelakon drama popular,  Pandian Stores, V. J. Chitra atau lebih dikenali sebagai Chithu juga ditemukan mati dalam keadaan tergantung di sebuah bilik hotel di Chennai.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.


Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956-8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.