Setiausaha Agung SBPAC, Lt Kol Wannapong Kotcharak berkata usaha menaik taraf Wilayah Pattani ini dijangka akan menjana pendapatan tambahan kepada penduduk setempat serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, terutamanya dalam sektor pelancongan.
Menurutnya, SBPAC akan bekerjasama dengan Persatuan Perdagangan Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA) untuk mengenal pasti produk-produk yang dapat dihasilkan bagi menarik lebih ramai pelancong.
"Ini merupakan salah satu usaha SBPAC untuk menarik pelancong dari Malaysia, Singapura, dan Indonesia ke Pattani, yang terkenal dengan ketam serta makanan lautnya.
Matlamatnya adalah untuk menyelaraskan dengan dasar Kerajaan Thailand yang memberi tumpuan kepada pembangunan lima wilayah selatan iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla, dan Satun," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Seramai 40 ejen pelancongan dari Malaysia, Indonesia, dan Singapura telah dibawa ke Pattani untuk mengenali lebih dekat produk pelancongan tempatan baru-baru ini.
Wannapong berkata, lima negeri di utara Malaysia iaitu Kedah, Perlis, Perak, Kelantan, dan Terengganu akan dijadikan rakan bandar kembar untuk pembangunan mampan ini.
Beliau berkata SBPAC terus menggalakkan penduduk tempatan untuk menimba pengetahuan dan pemahaman mengenai penternakan ketam serta memperluaskan rantaian bekalan bagi meningkatkan nilai ekonomi melalui penghubungan pelancongan di 'Bandar Ketam Laut'.
"Usaha juga dijalankan untuk membangunkan usahawan dan rangkaian mereka yang terlibat dalam sektor pelancongan dan industri, serta menyediakan perkhidmatan yang mesra pelancong. Ini juga dapat merangsang perbelanjaan, mencipta kerjaya, dan menjana pendapatan bagi penduduk di wilayah sempadan selatan," katanya.
-- BERNAMA