PATTANI: Majlis Agama Islam Wilayah Pattani (MAIWP) mengingatkan pasangan dari Malaysia yang mahu menikah di Selatan Thailand supaya berwaspada dengan sindiket yang menggunakan dokumen palsu pihak berkuasa.

Yang Dipertua MAIWP Wae Deramae Mamingchik berkata pihak majlis mempunyai lebih kurang 10 individu yang diberi tauliah dan mandat untuk melaksanakan akad nikah yang mesti diadakan di pejabat MAIWP sahaja.

Katanya, peringatan itu susulan terdapat pihak yang memalsukan dokumen pernikahan dikeluarkan majlis agama Islam di Selatan Thailand.

"MAIWP mendapati ada banyak sindiket yang mencari peluang untuk mengenakan bayaran tinggi berbanding yang dikenakan oleh MAIWP iaitu hanya sekitar 4,000 baht (RM511.82) hingga 5,000 baht (RM639.78) untuk upah pernikahan.

"Ada sindiket, terutama di Padang Besar (Wilayah Songkhla) yang palsukan dokumen (nikah) majlis agama Islam dengan tandatangan dan cap rasmi majlis palsu," katanya ketika ditemui Bernama selepas Majlis Perasmian Tilawah Al-Quran Peringkat Thailand, Rabu lepas.

Wae Deramae berkata MAIWP mempunyai nombor siri sijil nikah dan tarikh yang boleh disemak di Majlis Agama dan juga di pejabat Konsul General Malaysia.

"Nama wali hakim itu kami hantar kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pejabat agama, termasuk contoh tandatangan juga dihantar," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat lebih kurang 10 pasangan Malaysia bernikah di MAIWP setiap bulan dan pihaknya mengenakan syarat yang ketat untuk pasangan luar negara bernikah di Pattani.

Jelasnya kebanyakannya pasangan memilih untuk berkahwin di Selatan Thailand kerana menghadapi kesukaran atau tidak mendapat kelulusan untuk bernikah di Malaysia.

"Siapa yang cukup syarat kami luluskan. Antara syaratnya ialah (bakal pengantin perempuan) mesti ada surat keizinan (daripada wali), memasuki Thailand secara sah dan akad nikah dilakukan di pejabat majlis agama Islam," katanya.

Tambah Wae Deramae, salinan surat pendaftaran penikahan juga akan dihantar kepada Pejabat Konsul General Malaysia di Songkhla untuk direkodkan.

-- BERNAMA