KUALA LUMPUR: Antara objektif utama penubuhan Malaysia-China TVET Expert Team (Pasukan Pakar TVET Malaysia-China) adalah memanfaatkan kepakaran dan pengalaman profesional kedua-dua negara untuk meningkatkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Ketua BELIA MAHIR, Mohammad Rizan Hassan dalam satu kenyataan berkata, usaha ini juga memudahkan pertukaran pengetahuan dan pembinaan kapasiti dalam TVET antara kedua-dua negara.

“Melalui bengkel kerjasama, program latihan, dan projek penyelidikan bersama, pakar Malaysia dan China boleh berkongsi kepakaran mereka dan belajar daripada pengalaman masing-masing untuk memacu peningkatan dan inovasi berterusan dalam sektor TVET.

“Pertukaran ilmu dan amalan terbaik ini adalah penting untuk memupuk budaya kecemerlangan dan pembelajaran berterusan di institusi TVET di seluruh Malaysia,” kata Mohammad Rizan.

Penubuhan ini diumumkan Pengerusi Lembaga Penasihat Malaysia-China Institute (MCI), Manndzri Haji Nasib di The China International Education Conference 2024 yang dihoskan China Education Association for International Exchange (CEAIE) dengan sokongan Kementerian Pendidikan China pada 1 November 2024 di China National Convention Centre, Beijing.

Tambahnya lagi, pasukan ini akan memainkan peranan penting di bawah payung Malaysia-China Institute (MCI) dalam menggalakkan persefahaman dan kerjasama silang budaya dalam TVET.

“Dengan menghimpunkan pakar dari pelbagai latar belakang dan pengalaman, pasukan itu boleh membantu memupuk kerjasama dan sinergi yang lebih erat antara profesional TVET Malaysia dan Cina,” katanya.

Selain itu, penubuhan pasukan ini boleh menjadi platform untuk meneroka laluan baharu untuk kerjasama antarabangsa dalam TVET.

Sementara itu, dengan memanfaatkan kekuatan dan kepakaran Malaysia dan China dalam bekerjasama menangani cabaran bersama, meneroka peluang baharu dan meningkatkan kualiti dan keberkesanan keseluruhan program TVET.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia dan China akan mengadakan lebih banyak kolaborasi dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memperkasa bidang itu.

Beliau berkata, perkara itu dibincang dalam pertemuannya dengan Menteri Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China, Liu Jianchao pada awal tahun ini.