RAMALLAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas hari ini menegaskan rakyat negara itu mempunyai hak untuk mempertahankan diri daripada pencerobohan Israel.

Ketegasan itu disuarakan Mahmoud ketika mesyuarat tergempar kepimpinan yang diadakan di Ramallah.

Memetik agensi berita rasmi WAFA, beliau berkata, pihak berkuasa Palestin diarahkan bagi menyediakan segala keperluan bagi mengukuhkan semangat rakyat Palestin dalam menghadapi jenayah dilakukan oleh Israel.

Mahmoud dijangka mempengerusikan mesyuarat kepimpinan Palestin, termasuk ahli jawatankuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Jawatankuasa Pusat Fatah, serta pemimpin perkhidmatan keselamatan.

Ia adalah kenyataan pertama yang dikeluarkan Mahmoud berikutan tindakan ketenteraan mengejut Hamas terhadap Israel.

Hamas pada Jumaat melancarkan ribuan roket ke bandar Israel.

Selain itu, puluhan tenteranya menyusup masuk ke dalam bandar Israel sebelum melepaskan tembakan ke arah penduduk Israel.

Jurucakap tentera Israel, Avichai Adraee berkata bahawa tentera Israel akan mempertahankan penduduknya sambil menyatakan Hamas akan menerima pembalasannya.