BANGKOK: Pemimpin parti Pheu Thai, Paetongtarn Shinawatra memperoleh undi majoriti di Parlimen pada Jumaat (16 Ogos) untuk menjadi Perdana Menteri Thailand ke-31.

Paetongtarn, 37, yang mengetuai parti terbesar dalam gabungan pemerintah yang terdiri daripada 11 parti, adalah anak perempuan bongsu bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra.

Parti Pheu Thai yang bersifat populis, mempunyai kaitan dengan Thaksin, hanya mengemukakan seorang calon perdana menteri, Paetongtarn.

Sebagai pendatang baharu dalam arena politik, Paetongtarn menerima 319 undi, 145 undi menentang manakala 27 berkecuali.

Dengan jumlah undian itu, beliau melepasi ambang 247 undi yang diperlukan untuk menjadi perdana menteri dan membentuk kerajaan baharu.

Beliau disokong oleh gabungan 11 parti yang diketuai Pheu Thai, termasuk dua pesaing yang mempunyai kaitan dengan tentera: Parti Palang Pracharath (PPRP) dan United Thai Nation (UTN).

Gabungan itu mempunyai 314 kerusi, hampir dua pertiga daripada 493 ahli parlimen semasa. Pemilihan Perdana Menteri bermula pada 11.30 pagi waktu tempatan dan berakhir pada 12.30 tengah hari waktu tempatan.

Perdana menteri termuda kerajaan itu menggantikan Srettha Thavisin, yang dilucutkan jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan pada Rabu (14 Ogos).

Paetongtarn, dilahirkan pada 21 Ogos 1986 di Bangkok, merupakan anak bongsu kepada Thaksin dan Khunying Potjaman Damapong.

Beliau menamatkan pendidikan menengahnya di Sekolah St. Joseph Convent dan Sekolah Mater Dei sebelum memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam Sains Politik dari Kolej Chulalongkorn pada 2007.

Pada 2008, beliau menyambung pengajian di University of Surrey di United Kingdom, jurusan Pengurusan Hospitaliti Antarabangsa.

Beliau secara rasmi menceburi politik pada 2021 apabila beliau diperkenalkan sebagai ketua penasihat parti untuk penyertaan dan inovasi semasa mesyuarat agung tahunan Parti Pheu Thai di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Khon Kaen.

Pada 2023, Paetongtarn telah dipilih sebagai ketua baharu parti tanpa tentangan semasa mesyuarat agung Pheu Thai di Bangkok.

Beliau kini merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Strategik Soft Power dan juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sistem Kesihatan Negara.

-- BERNAMA