SYARIKAT pengeluar pesawat berpangkalan di Amerika Syarikat Boeing kini berdepan dengan pelbagai soalan susulan tragedi penerbangan Ethiopian Airlines pada Ahad yang mengorbankan kesemua penumpang dan anak kapal.

Ini insiden kedua dalam tempoh lima bulan membabitkan Boeing 737 Max 8, versi terbaharu pesawat tersebut.

Perbandingan dibuat dengan nahas penerbangan Lion Air pada Oktober lalu di mana pesawat tersebut terhempas beberapa minit selepas berlepas.

Namun beberapa pakar menyifatkan, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan punca nahas penerbangan Ethiopian Airlines.


Syarikat pengeluar pesawat, Boeing umum akan menawarkan bantuan terknikal bagi membantu siasatan nahas pesawat syarikat Ethiopian Airlines.

Boeing dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan, pasukan teknikal syarikat itu akan ke lokasi nahas untuk membantu siasatan insiden itu.

Menurut Boeing, kehadiran pasukan teknikal itu adalah atas arahan Biro Penyiasatan Kemalangan Ethiopia dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat.

Boeing dalam kenyataan itu turut menzahirkan ucapan takziah kepada kesemua keluarga mangsa dan anak kapal pesawat berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Kenya James Macharia, mengesahkan, kesemua 149 penumpang dan lapan anak kapal pesawat berkenaan terbunuh.

Menurutnya, 32 daripada penumpang itu merupakan rakyat Kenya, 18 rakyat Kanada, enam dari China dan lima dari Belanda.

Penumpang lain, terdiri daripada sembilan dari Ethiopia, tujuh masing-masing dari Perancis dan United Kingdom serta enam rakyat Mesir.

Manakala bakinya adalah masing-masing lapan dari Itali dan Amerika Syarikat serta masing-masing empat dari India dan Slovakia.


Pasukan penyelamat bergegas ke tempat pesawat Ethiopian Airlines terhempas di Hejere, sejurus selepas ia berlepas. - Foto AP/Yidnek Kirubel


Bagaimana nahas pada Ahad berlaku?

Jurucakap Ethiopian Airlines berkata, penerbangan ET302 terhempas pada 8.44 pagi waktu tempatan, enam minit selepas ia berlepas dari Addis Ababa.

Pesawat itu terhempas berdekatan dengan Bishoftu, 60 km barat daya dari ibu kota.

Punca kejadian masih dalam siasatan namun juruterbang pesawat terbabit dilaporkan berdepan masalah dan meminta untuk kembali ke Addis Ababa, kata syarikat penerbangan itu.

"Pada masa ini, kita perlu lihat kepada semua kemungkinan," kata Ketua Pegawai Operasi Ethiopian Airlines, Tewolde Gebremariam pada Ahad.

"Kita juga tidak boleh salahkan sesiapa kerana kita harus mematuhi dengan peraturan antarabangsa iaitu menunggu sehingga siasatan telah dilakukam," tambahnya.

Keadaan cuaca dikatakan baik ketika kejadian tetapi pengawal trafik udara Flightradar24 melaporkan pesawat itu merekodkan kelajuan tidak stabil ketika mendaki sejurus berlepas.

Juruterbang pesawat tersebut dikenal pasti sebagai Kapten Yared Getachew yang mempunyai rekod baik dengan catatan lebih 8,000 jam penerbangan, syarikat pesawat itu berkata dalam satu kenyataan.

Manakala pembantu juruterbang dikenali sebagai Pegawai Pertama Ahmed Nur Mohammod Nur dengan 200 jam penerbangan dicatatkan.






Apa kita tahu tentang pesawat ini?

Pesawat 737 Max 8 ini baru sahaja diperkenalkan dan hanya digunakan secara komersial sejak 2017.

Ia merupakan antara enam daripada 30 yang dipesan oleh Ethiopian Airlines dalam misi meningkatkan operasi syarikat tersebut.

Syarikat penerbangan itu juga berkata dalam satu entri di akaun Twitter miliknya, pesawat tersebut telah menjalani pemeriksaan penyelenggaraan secara intensif pada 4 Februari.


Boeing pula menyatakan rasa sedih dengan tragedi tersebut dan akan menghantar satu pasukan untuk memberikan bantuan teknikal.




Susulan tragedi yang menimpa penerbangan Lion Air pada Oktober lepas, pasukan penyiasat merumuskan juruterbang pesawat tersebut berdepan masalah dengan sistem automatik yang direka untuk mencegah enjin pesawat terbabit daripada terhenti.

Ini merupakan ciri terbaru yang dipasang pada Boeing 737 Max.

Berdasarkan laporan siasatan, sistem ini dikatakan telah memaksa muncung pesawat itu menjunam meskipun usaha juruterbang untuk membetulkan keadaan.

189 nyawa terkorban dalam tragedi tersebut.

Pesawat Lion Air itu juga baharu dua bulan digunakan dan ia terhempas sejurus selepas ia berlepas dari lapangan terbang.

"Ia sangat mencurigakan," kata Mary Schiavo, bekas Ketua Jabatan Pengangkutan Amerika Syarikat dalam satu temubual dengan CNN.

"Ini merupakan pesawat baharu yang terhempas dua kali dalam beberapa bulan. Ini sangat mencurigakan terutamanya di dalam industri penerbangan kerana ia tidak sepatutnya berlaku," tambahnya.