SEKUMPULAN syarikat dan perbadanan industri Kesatuan Eropah (EU) mendesak Suruhanjaya Antitrust EU agar mengambil tindakan terhadap Google atas dakwaan memonopoli enjin cariannya.

Kumpulan yang melibatkan syarikat dari Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan 21 negara anggota EU mendakwa Google mengekalkan monopoli dalam enjin cariannya untuk keuntungan tertentu.

Desakan kumpulan itu dihantarkan kepada Ketua Antitrust EU, Margrethe Vestager dalam sepucuk surat yang meminta agar tindakan diambil dengan segera.

Antara syarikat yang menandatangani surat desakan itu termasuk Yelp, Expedia, Trivago, Kelkoo, Stepstone dan Foundem. Mereka antara 165 syarikat perbadanan, termasuk 135 syarikat yang menawarkan perkhidmatan dalam talian serta 30 lagi pemain industri.   

Semua syarikat tersebut mendakwa Google mendapat kelebihan yang tidak adil dengan memperkenalkan perkhidmatan tambahan dalam laman cariannya, iaitu dengan memaparkan pelbagai hasil kumpulan carian khusus, atau OneBoxes. 

"Dengan kegunaan OneBoxes yang eksklusif, Google mengekalkan pengguna untuk terus menggunakan perkhidmatannya sekali gus mengelak pengguna daripada melayari perkhidmatan lain yang lebih relevan dan berkualiti," kata isi surat itu.

OneBoxes menawarkan informasi dan gambar yang terpapar di bahagian atas laman pencarian Google yang sering digunakan bagi mengutamakan produk tempatan.

Antara pengiklanan yang dimaksudkan kumpulan itu adalah perkhidmatan pelancongan seperti hotel dan perkhidmatan pengangkutan serta enjin carian pekerjaan.

Google bagaimanapun menafikan perkara itu dan mengatakan pengguna tidak terhad kepada cadangan enjin cariannya, sebaliknya perkhidmatan pesaing boleh diakses melalui internet.

BACA: AS saman Google kerana monopoli tidak sah