Militan tembak mati 23 orang di barat daya Pakistan
23 penumpang ditembak mati kumpulan militan di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan selepas kumpulan itu bertindak menyekat lebuh raya.
Bernama
Mon Aug 26 2024
Selain menembak mati penumpang, para pengganas turut membakar beberapa kenderaan semasa sekatan jalan raya itu. - Gambar hiasan
ISLAMABAD: Seramai 23 penumpang ditembak mati kumpulan militan di wilayah Balochistan, barat daya Pakistan selepas kumpulan itu bertindak menyekat lebuh raya selama beberapa jam, menurut pegawai.
Kejadian berlaku di daerah Musa Khel ketika para pengganas bertindak menghentikan kenderaan dan menurunkan penumpang selepas memeriksa identiti mereka, menurut sumber.
"Pengganas bertindak memeriksa kad pengenalan penumpang... kemudian menembak mati mereka yang datang dari wilayah timur Punjab," lapor Xinhua memetik sumber.
Laluan jalan raya yang menghubungkan Punjab ke Balochistan disekat dari 12:00 pagi (GMT 1900 Ahad) hingga 3:00 pagi waktu tempatan (GMT 2200 Ahad).
Para pengganas turut membakar beberapa kenderaan semasa sekatan jalan raya itu.
Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab setakat ini.