KUALA LUMPUR: Ukraine sentiasa berpegang teguh pada komitmen untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan berkaitan insiden pesawat penerbangan Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh.

Kementerian Ukraine dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan negara itu berkeyakinan penuh terhadap prosiding yang bebas, terbuka dan telus oleh pendakwaan kebangsaan Belanda dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa.

Justeru, Ukraine menggesa semua negara dan pihak yang terlibat untuk memberi kerjasama sepenuhnya terhadap prosiding itu selaras dengan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2166 (2014)

"Proses kehakiman yang menyeluruh mesti dilakukan untuk mendapatkan kebertanggungjawaban penjenayah dan menuntut keadilan bagi mangsa dan waris MH17," menurut kenyataan itu yang dimuat naik di Twitter sempena memperingati ulang tahun kelapan tragedi MH17.

Pesawat Boeing 777 itu dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 apabila ia ditembak jatuh di bahagian timur Ukraine. Mengorbankan 298 penumpang termasuk kru pesawat itu.

Ukraine turut mengulangi rasa simpati dan ucapan takziah kepada seluruh waris dan insan tersayang mangsa nahas penerbangan MH17.

"Pencerobohan berterusan Rusia ke atas Ukraine sudah pasti mengembalikan detik menyakitkan kepada keluarga dan insan tersayang mengenai tragedi MH17.

"Walaupun mereka yang pergi tidak akan kembali atau dapat mengubat kesedihan serta keperitan yang dialami seluruh keluarga mangsa, namun penting untuk kita meneruskan kebertanggungjawaban dan memastikan tragedi sama tidak akan berulang," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA