MENTERI Pertahanan Israel, Yoav Gallant dijadualkan berlepas ke Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ini, untuk rundingan keselamatan sebagai persediaan Israel melancarkan serangan terhadap Iran.

Akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth melaporkan, Gallant akan membuat lawatan singkat ke Washington untuk membincangkan perkembangan keselamatan di Asia Barat.

Akhbar Israel Hayom pula mendakwa, lawatan tersebut akan memberi tumpuan kepada Iran dan bertujuan menyelaraskan usaha keselamatan dengan AS.

Kenyataan Pentagon menyebut Gallant dijangka bertemu dengan Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin sebagai sebahagian daripada lawatan tersebut.

Iran melancarkan lebih 180 peluru berpandu ke arah Israel pada awal Oktober, sebagai tindak balas kepada pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh dan Setiausaha Agung Hezbollah, Hassan Nasrallah serta tindakan rejim di Gaza dan Lubnan.

Hezbollah dan Israel terlibat dalam pertempuran rentas sempadan sejak permulaan perang di Gaza, yang mengorbankan hampir 42,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Menurut pihak berkuasa Lubnan, sekurang-kurangnya 2,036 orang terbunuh dan lebih 9,500 lagi cedera akibat keganasan Israel terhadap negara itu.