DUBAI: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) edisi ke-79 sudah membuka tirai pada 10 September lalu dengan tema, Leaving no one behind: Acting together for the advancement of peace, sustainable development and human dignity for present and future generations.

Antara peristiwa bersejarah tahun ini semestinya dunia menyaksikan saat negara Palestin buat pertama kalinya mengambil tempat dalam kalangan negara anggota pada sesi kali ini.

Biarpun bukan sebagai ahli penuh badan berkenaan, namun ia merupakan hak baharu yang diberikan kepada delegasi negara itu sekali gus merupakan langkah ulung menjadi sebuah negara berdaulat yang diiktiraf oleh PBB.

Meniti perjalanan menuju ke High Level Week yang bakal berlangsung pada 24 sehingga 30 September ini, semestinya dunia akan memerhati bagaimana pelbagai isu yang didepani masyarakat di peringkat global diusulkan dan diperdebatkan.

Ini kerana, dunia ketika ini sarat dengan pelbagai isu melibatkan geopolitik, keamanan dan kekacauan yang masih belum menemui noktah biarpun pelbagai cadangan dan inisiatif menerusi pelbagai platform sudah disuarakan.

Isu yang paling genting dan pastinya akan menjadi fokus utama UNGA ke-79 kali ini adalah konflik yang berterusan melibatkan kezaliman, keganasan dan pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan rejim Israel terhadap penduduk di Palestin.

Kita menghampiri usia satu tahun sejak kejahatan secara besar-besaran mula dilancarkan oleh rejim pimpinan Benjamin Netanyahu yang bermula 7 Oktober tahun lalu dengan angka korban terus meningkat saban hari dan menghampiri 42,000 mangsa.

Bermula saat itu juga, dunia bangun mengecam, mengkritik dan mengeji tindakan rejim Zionis menerusi pelbagai tindakan dengan tujuan mahu mendesak kerajaan zalim ini menghentikan kegilaan mereka.

Malah perjanjian gencatan senjata yang diharap dapat direalisasikan masih menemui jalan buntu apabila tiada sebarang kesepakatan berjaya dicapai antara Israel dan Hamas.

Lebih memilukan di saat agenda merealisasikan perjanjian gencatan senjata masih berlangsung dengan bantuan negara pengantara melibatkan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat, dunia dikejutkan dengan kematian Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh yang dibunuh dengan kejam di Tehran, Iran pada 31 Julai lalu.

Di saat ini dunia pasti tertanya-tanya apakah peranan yang dimainkan oleh badan dunia seperti PBB ini dan adakah isu ini akan terus berlangsung dengan hanya mengutuk dan mengkritik tanpa sebarang resolusi dan sekatan yang mampu mengetepikan negara Israel ini?

Ini kerana konflik yang melatari Palestin ketika ini menyebabkan seluruh rantau Asia Barat berdepan dengan situasi konflik apabila beberapa organisasi dari Yemen dan Lubnan bangkit menyatakan solidariti mereka kepada Palestin.

Justeru, isu penting ini perlu segera ditangani dan satu inisiatif perlu dibentangkan bagi membolehkan penyelesaian segera dapat dirangkul agar negara Palestin dapat dibangunkan semula.

Konflik Ukraine dan Rusia dan dongeng Amerika Syarikat

Bukan setakat isu melibatkan kekejaman dan penaklukan Israel terhadap Palestin, malah konflik yang berlaku antara Ukraine dan Rusia antara isu dominan yang masih belum diselesaikan.

Sejak tercetusnya perang antara dua negara jiran ini pada Februari 2022, dunia juga masih gagal membentang satu resolusi yang berupaya menghentikan konflik ini.

Kritikan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin juga memuncak apabila beberapa blok utama dunia sekali lagi bangkit mengutuk tindakannya menceroboh Ukraine.

Di saat ini juga, Amerika Syarikat terus memainkan peranan menyatakan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada Ukraine disebabkan ‘permusuhan’ mereka dengan Moscow.

Dongeng politik dan dasar luar Washington juga terus menjadi mimpi ngeri kepada dunia.

Sikap hipokrit Amerika Syarikat jelas diperlihat tatkala menyatakan sokongan kepada Kyiv namun bertindak membelakangkan penderitaan yang dialami warga Palestin.

Terbaharu, di saat negara Uncle Sam ini menuju ke Pilihanraya Presiden yang dijadual pada November ini, harapan dunia terus ‘punah’ apabila kedua-dua calon presiden menyatakan kesungguhan mereka dalam membela dan mempertahankan perjuangan Israel.

Biarpun dalam pentadbiran ketika ini yang diketuai Joe Biden menyatakan kesungguhan memastikan perjanjian gencatan senjata dapat direalisasikan, namun jelas sokongan mereka hanya berkiblatkan kepada pendirian dan kemahuan Israel.

Baik Donald Trump, mahupun Kamal Harris, kompas moral mereka wajar dipersoal kerana bersungguh-sungguh menyatakan sokongan kepada Ukraine namun sama sekali mengenepikan nasib, penderitaan dan perjuangan Palestin.

Namun adakah ini akan dapat diakhiri dan adakah kita bakal menyaksikan perubahan selepas Presiden Amerika Syarikat ke-47 mengambil alih tampuk pemerintahan kelak?

Sasaran mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)

Mendepani realiti keadaan geopolitik yang pelbagai dihadapi dunia pada ketika ini, satu lagi persoalan terbesar sempena penganjuran Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) kali ini, iaitu hasrat merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang dikemukakan badan dunia itu pada 2015.

Ia merupakan satu agenda dalam memastikan pembangunan manusiawi yang menggariskan 17 matlamat utama.

Antaranya, membasmi kemiskinan, kualiti pendidikan, tenaga mampu milik dan bersih, mengurangkan ketidaksamaan dan tindakan iklim.

Menarik untuk diperdebatkan kerana kesemua 17 agenda ini dirancang untuk direalisasikan menjelang 2030.

Namun berbaki tempoh enam tahun, laporan SDG Transformation Center pada Jun 2024 melaporkan hanya 16 peratus sasaran yang berjaya dicapai dan adakah dunia mampu mencapai sasaran 84 peratus yang lain menjelang 2030?

Hal ini kerana banyak isu yang melatari dunia ketika dan saat ini masih belum berjaya diselesaikan ditambah dengan krisis kemanusiaan yang mencengkam di beberapa negara.

Jika sebentar tadi memfokuskan kepada konflik di Palestin dan perang di antara Ukraine dan Rusia, dunia juga tidak boleh lari dengan krisis kemanusiaan yang mencengkam etnik Rohingya yang ketika ini masih berusaha mendapatkan suaka politik di negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Bangladesh.

Ini kerana Kerajaan Junta yang memerintah Myanmar ketika ini masih memilih untuk tidak mengiktiraf kumpulan etnik ini yang menyaksikan mereka dihalau dan dipaksa keluar meninggalkan bumi Rakhine dan mencari perlindungan di tempat lain.

Untuk itu, kalau mahu dibincangkan tentang merealisasikan agenda SDG ini, ia nyata tidak boleh diukur berdasarkan peratusan semata-mata kerana masalah yang mencengkam dunia ketika ini masih jauh daripada selesai.

Makanya, perhimpunan yang mengumpulkan pemimpin dunia, pemikir dalam pelbagai cabang dan golongan pakar pada kali ini adalah mustahak dalam membincangkan semua perkara di atas.

Bagi mencapai sasaran SDG 2030 secara total, semua perkara di atas perlu diselesaikan dan untuk menyelesaikan segala isu yang melatari dunia kali ini pastinya memakan masa yang panjang dan memerlukan kesungguhan semua pihak bagi menjayakannya.

Kenyataan Malaysia di UNGA ke-79

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dijangka menyampaikan kenyataan negara pada 28 September (Sabtu) sempena dengan UNGA kali ini.

Pastinya Malaysia akan kekal dengan pendirian mengkritik kekejaman rejim Zionis selaras dengan usaha berterusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatakan solidaritinya kepada masyarakat di Palestin.

Pada masa sama, Malaysia juga dijangka akan menyatakan usaha berterusan dalam mengukuhkan multilateral bersama kesemua negara anggota PBB selain menyokong pelan dan dasar PBB terutamanya dalam menangani isu perubahan iklim, yang juga merupakan salah satu agenda dalam Matlamat
Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG).

Menyentuh mengenai kepengerusian Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan, pastinya Mohamad akan menyampaikan matlamat negara dalam usaha membantu melenturkan ketegangan dan konflik serantau yang mendepani negara-negara Asia Tenggara.

Umum mengetahui beberapa isu utama mendepani ASEAN dan paling dominan ketika ini adalah isu pertikaian wilayah yang dituntut di Laut China Selatan melibatkan China dan Filipina.

Pastinya Malaysia akan menekankan pendiriannya dalam mencari solusi penyelesaian secara aman mengikut United Nations Convention on the Law of the Sea (UNICLOS).

Selain itu, beberapa isu utama lain pastinya akan dinyatakan menerusi kenyataan negara pada kali ini.

Apa pun, kita mengharapkan agar kenyataan negara pada kali ini akan memperlihatkan usaha jelas Malaysia secara konsisten dalam mengangkat isu keamanan sejagat, pembangunan secara seimbang dan mepertahankan hak manusiawi di pentas antarabangsa.