WASHINGTON:Petugas pilihan raya di pusat penjumlahan undi di Clark County, Nevada, bimbang mengenai keselamatan mereka berikutan situasi tegang yang timbul berhubung keputusan pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

"Kakitangan saya takut untuk meninggalkan (pejabat)," kata Pendaftar Pilihan Raya Joe Gloria kepada wartawan pada Jumaat lapor agensi berita Sputnik. 

Gloria menegaskan petugas yang sering kerja lewat malam tidak perlu khuatir kerana pihaknya ada menyediakan pengawal keselamatan. 

Keputusan di beberapa kawasan panas termasuk Nevada masih samar. 

Berikutan keputusan yang masih tertangguh sejak pengundian berakhir tiga hari lalu, tuduhan kononnya terdapat penipuan dan rasuah oleh petugas pilihan raya menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Amerika. 

Menurut Sputnik, masih ada kira-kira 123,000 kertas undi belum dikira di Clark County, termasuk sekitar 63,000 kertas undi wilayah. Proses pengiraan dijangka selesai menjelang Ahad, kata Gloria.

-- BERNAMA