Abu Nabhan, yang membuat liputan di Kem Pelarian Nuseirat, "syahid akibat tembakan penembak tepat Israel", menurut kenyataan Pejabat Media Gaza.
Kenyataan itu menyifatkan pembunuhan itu sebagai sebahagian daripada usaha Israel untuk "menyasarkan dan membunuh wartawan Palestin" serta mendakwa Israel dan sekutunya, termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan itu.
Kesatuan Wartawan Palestin mengkritik tindakan Israel sebagai "usaha sengaja untuk menyembunyikan kebenaran dan menutupi jenayah terhadap rakyat Palestin."
Pembunuhan Abu Nabhan turut dianggap sebagai kesinambungan daripada penindasan sistematik terhadap wartawan, yang melanggar undang-undang antarabangsa dan kebebasan akhbar.
Pusat Perlindungan Wartawan Palestin mengutuk pembunuhan itu dan menuntut penubuhan jawatankuasa bebas antarabangsa untuk menyiasat "jenayah perang terhadap wartawan di Gaza."
Sementara itu, Forum Media Palestin menggambarkan Abu Nabhan sebagai syuhada yang mengorbankan nyawa untuk mendedahkan penderitaan rakyat Palestin, sambil mengecam kegagalan masyarakat antarabangsa melindungi wartawan Palestin.
Abu Nabhan, 25, yang meninggalkan seorang isteri dan seorang anak, maut terkena tembakan jarak jauh penembak tepat tentera Israel pada Jumaat.
Tentera Israel dilaporkan terlebih dahulu mengepung kawasan di Kem Pelarian Al-Jadeed di Wilayah Nuseirat, tengah Gaza , sebelum menyasarkan mereka yang berada di kawasan itu.
Rakaman video menunjukkan seorang individu yang cedera dibawa keluar daripada sebuah rumah menggunakan pengusung oleh pasukan bantuan.
Di lokasi berdekatan, Abu Nabhan kelihatan cuba berlari sambil membawa peralatan liputannya sebelum ditembak dengan apa yang disyaki senapang jarak jauh.
Beliau kemudian rebah dan tidak bergerak. Orang di sekitarnya sukar untuk mendekati beliau akibat ancaman tembakan daripada tentera Israel.
Kematian Abu Nabhan menjadikan jumlah wartawan Palestin yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt 2023 meningkat kepada 203 orang. Laporan turut menunjukkan 399 wartawan cedera dan 43 lagi ditahan.
Tentera Israel terus melancarkan serangan yang disifatkan sebagai genosid di Gaza, mengakibatkan lebih 46,000 kematian, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, sejak 7 Okt 2023, meskipun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengeluarkan resolusi menggesa gencatan senjata segera.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap pada November lepas terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant, atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya ke atas Gaza.
-- BERNAMA