Polis Australia menemui mayat di dalam perut seekor buaya di Taman Negara Kakadu.

Buaya sepanjang 4.7 meter itu ditembak ketika operasi mencari seorang warga emas berusia 62 tahun sedang dijalankan.

Reptilia itu menyerang lelaki terbabit ketika dia berada di atas bot bersama keluarga.

Ia memaksa renjer membunuh seekor daripada dua buaya muara yang dikesan di dua lokasi berbeza.

Proses pengesahan identiti mayat sedang dilakukan pihak berkuasa.

Ini merupakan serangan kedua buaya muara di Kakadu dalam tahun ini.

Terdapat banyak buaya di utara Australia dan bilangannya telah bertambah sejak undang-undang perlindungan diperkenalkan pada tahun 1971.

Spesis buaya air masin Australia boleh membesar sehingga tujuh meter panjang dan melebihi berat satu ton.