MOSCOW: Mali memutuskan hubungan diplomatik dengan Ukraine, umum kerajaan peralihan Mali, lapor Sputnik.

"Selepas Ukraine mengesahkan dakwaan penyertaan dalam pencerobohan secara terang-terangan terhadap Mali, kerajaan peralihan Republik Mali memutuskan langkah-langkah berikut: pemutusan segera hubungan diplomatik antara Republik Mali dan Ukraine," kata kerajaan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pentadbiran Wilayah dan Desentralisasi Mali, Abdoulaye Maiga, lewat Ahad.

Kerajaan peralihan juga memutuskan untuk memaklumkan kepada kerajaan di seluruh dunia, termasuk negara yang menyokong Kyiv, bahawa Ukraine "secara terbuka menyokong keganasan", menyebabkan Mali menganggap "sokongan untuk Ukraine sebagai sokongan untuk keganasan," tambah kenyataan itu.

"Kerajaan peralihan Mali menyokong sepenuhnya diagnosis yang dibuat oleh Rusia, yang selama bertahun-tahun telah memberi amaran kepada dunia tentang sifat neo-Nazi dan jahat pihak berkuasa Ukraine, yang kini menjadi sekutu pengganas global," menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa tindakan kerajaan Ukraine jauh daripada "aspirasi rakyat Ukraine untuk keamanan dan kestabilan".

Kerajaan peralihan juga akan mengambil langkah-langkah untuk menghalang percubaan mengganggu kestabilan negara itu daripada negara Afrika lain, khususnya, daripada kedutaan Ukraine di rantau Afrika dan dengan penyertaan "pengganas yang menyamar sebagai diplomat".

Pada Sabtu, Kementerian Luar Negeri Senegal memanggil duta Ukraine ke negara itu, Yuri Pivovarov, mengenai sokongannya yang dinyatakan untuk militan di utara Mali yang menyebabkan kerugian besar kepada tentera kerajaan.

Pada awal hari yang sama, sembilan pertubuhan awam Senegal berkata dalam satu kenyataan bahawa video yang diterbitkan oleh jurucakap perisikan pertahanan Ukraine Andriy Yusov, mengesahkan penglibatan Kyiv dalam serangan ke atas syarikat tentera swasta Rusia Wagner Group di Mali, merupakan satu lagi pengesahan sokongan Kyiv terhadap kumpulan bersenjata. Mereka juga mengutuk Ukraine kerana melatih militan di Afrika dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan Kyiv bertanggungjawab.

Pada akhir Julai, Kumpulan Wagner berkata ia mengalami kerugian selepas pertempuran sengit dengan militan Tuareg di Mali pada 22 hingga 27 Julai. Angkatan Tentera Mali juga melaporkan kerugian besar semasa pertempuran itu.

Pada 30 Julai, saluran media Senenews melaporkan bahawa pihak berkuasa Mali dan Mauritania sedang menyiasat penglibatan pengajar tentera Ukraine dalam konflik selama setahun di Mali di pihak pemberontak. Awal hari yang sama, jurucakap Kementerian Luar Negeri Rusia Maria Zakharova berkata hakikat bahawa Ukraine bekerjasama dengan pengganas dari wilayah Sahel tidak menghairankan dan Moscow secara aktif menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap tindakan Kyiv itu.

-- BERNAMA