Maldives larang import dan penggunaan rokok elektronik
Maldives menjadi negara terbaru yang melaksanakan larangan terhadap rokok elektronik.
Bernama
Tue Oct 15 2024
Larangan itu juga akan dikenakan ke atas pemilikan, penggunaan, pembuatan, penjualan, promosi, dan pengedaran percuma peranti rokok elektronik di seluruh negara. - Gambar hiasan/BERNAMA
NEW DELHI: Dalam usaha proaktif memerangi ketagihan nikotin dan melindungi kesihatan awam, Maldives menjadi negara terbaru yang melaksanakan larangan terhadap rokok elektronik.
Presiden Mohamed Muizzu pada Isnin mengumumkan bahawa kerajaan sedang mengambil langkah kukuh untuk melarang penggunaan vap.
Beliau mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memulakan tindakan yang perlu bagi mengharamkan import peranti "vaporiser" , aksesori dan alat ganti mulai 15 Nov tahun ini, menurut kenyataan pejabat Presiden.
Mulai 15 Dis, larangan itu juga akan dikenakan ke atas pemilikan, penggunaan, pembuatan, penjualan, promosi, dan pengedaran percuma peranti rokok elektronik di seluruh negara.
Ramai rakyat Maldives menerusi hantaran di platform media sosial menyambut baik keputusan itu, dengan menyatakan bahawa ia akan melindungi masyarakat daripada gaya hidup yang berbahaya.
Sesetengah pihak turut mencadangkan agar larangan lebih meluas dikenakan ke atas penggunaan tembakau dan rokok.