KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa tindakan lebih tegas dalam menyelesaikan ketegangan di Asia Barat yang berpunca daripada pendudukan haram Israel di Palestin sejak tujuh dekad lalu.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, konflik yang berskala besar itu telah menimbulkan risiko kepada ekonomi dunia dan pembangunan umat Islam.

“OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) mesti terus bekerja keras bersama negara-negara sealiran dengan tumpuan kepada empat bidang keutamaan iaitu, pertama, melaksanakan gencatan senjata segera dan berkekalan. Kedua, mewujudkan akses penghantaran bantuan yang selamat dan tidak terhalang.

“Ketiga, memastikan pihak yang melanggar undang-undang antarabangsa bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan. Keempat, memastikan Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang merupakan hak yang telah terabai sejak sekian lama,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Kenyataan Negara di Sesi ke-15 Sidang Kemuncak OIC pada Sabtu di Gambia.

Mohamad turut menegaskan komitmen Malaysia dalam memenuhi misi OIC untuk keamanan, keselamatan dan kesejahteraan ummah, dengan penekanan kepada perpaduan.

Sidang kemuncak kali ini bertemakan “Meningkatkan Perpaduan dan Solidariti menerusi Dialog untuk Pembangunan Mampan” menyediakan platform perbincangan kepada pencapaian OIC dan cabaran berterusan dihadapi dunia Islam.

Israel meneruskan serangannya ke atas Semenanjung Gaza, di sebalik arahan dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Sehingga kini lebih 34,000 rakyat Palestin terbunuh, kebanyakannya terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak dan lebih 77,000 cedera sejak 7 Oktober lalu.

Menurut PBB peperangan Israel ke atas Palestin memaksa 85 peratus penduduk di wilayah itu melakukan perpindahan dalaman di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah.


Perpaduan negara Islam sedunia selesaikan isu sedunia